10 December 2008

kenapa aku masih 'single' ?

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia
bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya,
jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya
singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35
tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk
membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam
doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk
lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat.
Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.

Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri
daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.
Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu
sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita
benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang
bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah
dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu.
Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita
ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu
kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli
durian di tepi jalan.



Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal
mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh,
alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat
sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang
memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda
sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin
ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan
buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai saluran yang betul untuk
melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya
semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan
kaki kea lam berumahtangga. Bukankah dangan ijab dan Kabul selain
menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul
juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya,
anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang
menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina
janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja
asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika
merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu.
Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah
dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai
yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya
jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala
tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi
yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai
matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada
kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.
Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan
mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia
akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya
agar jemputan itu mudah sampai.



Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat.
Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar.
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi. Cinta yang disemadikan
tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh
selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi
esok masih ada.Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di
dada. Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling
besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.

Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya
hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum
pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang
bertempat di hati.

0 comments: