13 June 2008

eh, IKAN...



Sytt….saya nak tanya satu soalan boleh tak?Pernahkah kamu memancing ikan?kalau tak pernah memancing ,pernahkah kamu melihat orang memancing?kalau tak pernah lihat pun,bolehkah kamu bayangkan seseorang sedang memancing?
Baiklah,katakan kamu menemani seseorang yang sedang asyik memancing. Tiba-tiba mata kailnya disentap oleh seekor ikan dan dia segera memutar pemutar tali pancing. Sekali-sekala dia menghenjut-henjutkan jorannya supaya mata kail semakin menyangkut mulut ikan.
Akhirnya, ikan itu dapat dinaikkan ke atas. Terkedik-kedik ia dihujung tali kail. Kamu lihat pemancing itu tersennyum lebar. Gembira benar hatinya. Kamu juga turut tersenyum kerana itu bermakna itu satu kemenangan.
Kamu turut ghairah melihat pemancing itu cuba membebaskan ikan daripada mata kailnya. Tiba-tiba, setelah dia melepaskan mata kail daripada mulut ikan, dia mencampakkan kembali ikan itu ke air. Eh, apa hal? Kamu memandang pemancing itu dengan seribu tanda tanya, tapi dia bersahaja seolah-olah tindakannya itu tidak menimbulkan persoalan.
Kamu rasa apakah yang akan dideritai oleh ikan itu? Bolehkah ia menyambung hidup dengan mulutnya yang terluka atau mungkin juga isi perutnya yang sudah robek? Sudah tentu ia akan mengalami kesakitan sebelum akhirnya mati. Dengan mulut yang koyak dan perut yang robek, dia tentu tidak dapat mencari makanan, untuk berenang pun mungkin dia tidak mampu. Dia mungkin disisihkan oleh kawan-kawan kerana tidak boleh aktif lagi.
Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang, setelah dia mula menyayangi kamu hendaklah kamu menjaga hatinya. Jangan sesekali terus meninggalkannya begitu sahaja sebab dia akan terluka oleh kenangan bersama kamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingati kamu.
Sebab itu apabila kamu merelakan hati kamu untuk bercinta, seriuslah dalam tindakan dan keputusan kamu itu, sebab jika kamu hanya main-main, tentu ada pihak yang menangis. Tentu kamu dapat bayangkan betapa sakit dan menderitanya ikan menjalani hidupnya setelah dilemparkan kembali ke air. Begitulah, alangkah sakitnya hidup bersama hati yang robek kerana mengingati seseorang.
Kamu kena faham, persahabatan dan percintaan pertama kamu akan kekal bersama kamu sehingga akhir hayat kamu. Ia ibarat gambar foto yang kamu ambil dan kamu simpan dalam album. Ia kekal disitu meski pun ada banyak lagi gambar yang kamu ambil dan letakkan diatasnya.
Percintaan adalah salah satu fitrah manusia. TUHAN menjadikan cinta untuk memberikan keseronokkan kepada hamba-hambaNya menjalani hidup mereka, tapi tahukah kamu lebih ramai orang yang menderita kerana kerana cinta.
Kenapa jadi begitu?
Jika kamu sedang bercinta, sekarang ini peliharalah hatinya dan rencahilah cinta kamu dengan kejujuran, kesucian, dan keikhlasan serta dasarkan persahabatan kamu itu kerana TUHAN. Hanya cinta begini akan kekal, selainnya pasti menempuh jalan berliku dan akhirnya menumpahkan air mata kesedihan.
Maka itu, saya juga hendak menasihatkan kamu jika kamu belum bersedia untuk berlaku jujur janganlah mencari cinta. Jika kamu belum bersedia untuk setia janganlah cuba-cuba memberikan hati kepada orang lain. Sebab perbuatan yang begini akan hanya menghabis masa dan membazirkan air mata
Saya juga ingin mengatakan, jika kamu memancing, teruslah ambil ikan itu dan bawa pulang. Kerana itu lebih baik daripada kamu memasukkannya kembali ke dalam air kerana perbuatan kamu itu memulakan satu derita.

0 comments: